Sunday, June 6, 2010

Sains Makrifat

Artikel ini di ambil dari http://aku-ok.com/ milik Dr Muhd Azhar. Aku secara tak sengaja "termasuk" ke laman web beliau dan terjumpa beberapa kandungan artikel yang sangat menarik, dan salah satu nya adalah yang aku paste kan di sini setelah meminta keizinan beliau. Harapan agar usaha beliau ini berterusan dan ilmu yang di sebarkan berkembang luas. Insyaallah.

Selamat membaca. Jika terdapat kemusykilan, bolehlah bertanya kepada penulis dan  mungkin juga pembaca mempunyai murshid sendiri yang mampu menerangkan isi patinya.

Artikel mula.

Mungkin anda terkejut membaca tajuk di atas tetapi selepas ini mungkin anda mula terbuka dalam membicarakannya. Jarang sekali saya membicarakannya secara terbuka kerana ditakuti berlakunya salah faham tentang definisi namun kali ini jiwa saya begitu kuat untuk membicarakannya sebagai pembuka minda kepada semua para pembaca betapa selama ini kita sering bertelingkah atas perkara yang seharusnya menjadi kekuatan dalam hidup kita. Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya suka memaklumkan bahawa kupasan yang bakal anda baca mungkin merubah pandangan anda terhadap apa yang dikatakan makrifat kerana saya lebih suka melihatnya dari sudut sains minda berbanding sudut yang biasa kita dengar. Mungkin tak ramai yang mengetahui bahawa orang barat sudah lama mengintai akan hal ini lalu dilakukan kajian untuk membuktikan keberkesanannya dalam mengharungi hidup.




Saya selalu bertanya kepada mereka yang datang kepada saya mengenai duduk perkara ini. Soalan saya mudah dan mungkin sesiapapun boleh menjawabnya… berapa ramai dikalangan kita yang bertelagah tentang hal ini? Pernah satu ketika saya mengadakan latihan dan terdapat dua kumpulan yang datang dari negeri berbeza. Sewaktu berhenti rehat, mereka berbual sesama sendiri dan amat mengejutkan saya apabila salah seorang dari mereka bertanya “guru kamu sudah kasyaf dan duduknya di makam mana?” sebelum sempat soalan dijawab, saya yang dari tadi memasang telinga terus menyampuk “saya minta maaf kerana mencelah, program saya berkisar tentang sains minda dan sains kejiwaan, jadi tolong elakkan soalan-soalan sebegini walaupun bukan dalam kelas latihan.” Tergamam mereka dengan ketegasan saya tetapi saya ada sebab munasabah disebalik itu kerana selalunya hanya berpunca dari soalan-soalan sedemikian mulalah api pergeseran berlaku, siapakah yang bakal rugi? Bukankah lebih baik tidak dibincangkan hal yang di luar jangjauan akal kita. Saya kemudiannya menggunakan kesempatan dalam satu slot latihan program untuk membuka kembali topik yang dibualkan mereka dengan tujuan untuk membuka satu dimensi baru dalam pemikiran mereka. Saya menyatakan kepada mereka bahawa kita sering mendengar perihal empat perkara: syariat, tariqat, hakikat dan makrifat, maka buktikan kepada saya kedudukannya dalam kehidupan dalam sains minda yang ringkas, tidak perlu formula, memadailah dengan sedikit kupasan dan impaknya dalam kehidupan. Inilah yang mungkin kita terlepas pandang, inilah yang mungkin kita alpa hingga masyarakat barat mengambil sistem ini dalam memajukan negara mereka dan membina diri mereka untuk menempuh setiap cabaran dalam hidup. Namakan sesiapa dari barat yang terkenal tentang sains kejiwaan, deepak chopra, joe vitale, bob proctor atau siapa sahaja, jika kita lihat dan tahu kaedah yang mereka guna pakai ianya tidak lari dari mengambil kupasan syariat, tariqat, hakikat dan makrifat. Bezanya mereka dan kita ada dua, pertama, mereka tidak bertelagah untuk melihat siapa lebih benar dan kedua mereka mengkaji dan mempraktikkannya.



Saya melihat syariat, tariqat, hakikat dan makrifat juga dari sudut yang berlainan dan secara mudahnya ianya ditukarkan kepada PQ (syariat), IQ (tariqat), EQ (hakikat) dan SQ(makrifat). PQ, IQ, EQ, SQ sudah banyak dibincangkan oleh barat dan kita tertinggal dalam membawanya dalam kehidupan kerana kita leka dengan melihat siapa lebih tinggi darjatnya sedangkan hanya Allah swt yang tahu siapa lebih bertaqwa diantara kita. Hari ini ramai yang menyebut SQ tetapi masih samar-samar apakah dia yang dikatakan dengan SQ. Dek kerana itu kita sering tergiur dengan cerita SQ walaupun kita sebenarnya tidak tahu apa itu SQ dan mungkin juga yang menceritakannya tidak tahu apa itu SQ. Saya mengambil satu lagi pendekatan yang lebih mudah untuk kita fahami dalam bahasa yang cukup mudah supaya tidak sesat dalam terang. . Secara mudahnya manusia ini dapat dikatakan mempunyai tiga jenis tubuh yakni tubuh zahir (fizikal) PQ, tubuh batin ( minda dan emosi) IQ dan EQ serta tubuh rohani (spiritual) SQ. Maka setiap tubuh ini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap setiap kejadian bergantung dengan siapa ketua mereka. Jika tubuh zahir yang menjadi ketua maka selalunya ia akan disertai dengan hawa panas yang merimaskan tetapi jika sebaliknya tubuh spiritual yang dijadikan ketua yang membentuk pandangan kolektif manusia terhadap kehidupan maka setiap kejadian itu akan dilihat sebagai satu rahmat.



Saya suka membuat analogi dalam menerangkan sesuatu supaya kita dapat melihatnya dengan jelas lagi faham. Kita ambil satu senario yang mana kita sedang menunggu seorang teman yang berjanji untuk bertemu dengan kita pada jam 3 petang. Demi mengelakkan kesesakan jalan raya, anda mengambil keputusan untuk keluar dari rumah lebih awal agar dapat sampai ke tempat yang dituju sebelum jam 3 petang. Rancangan anda membuahkan hasil apabila anda dapat sampat ke tempat yang dijanjikan lebih awal iaitu kira-kira jam 2.40 petang. Anda kemudiannya mengandaikan yang teman anda akan dating selewat-lewatnya jam 3 petang sesuai dengan perjanjian sebelumnya. Anda mengambil satu keputusan untuk duduk menunggu teman anda di ruang menunggu sambil anda dapat dapat melihat keadaan sekeliling. Namun setelah lebih setengah jam menanti anda tidak melihat lagi kelibat teman anda di kawasan tersebut. Usaha anda seterusnya ialah menghubungi beliau namun dia tidak dapat dihubungi. Anda makin resah dan mula merasa kecewa bercampur geram. Sepuluh minit kemudia teman anda datang sambil memohon maaf atas kelewatannya. Dia kemudiannya menerangkan yang dia tersangkut dalam kesesakan jalanraya apabila kereta di hadapannya mendapat kemalangan. Sekali lagi dia memohon maaf kepada anda.



Jika kita lihat lebih dalam terhadap kejadian ini dan melihat dari perspektif mana anda menilai sesuatu kejadian maka kita akan melihat perbezaan impak kejadian terhadap hidup anda. Jika anda melihatnya dengan zahir kemudian batin dan barulah spiritual, maka impaknya adalah negatif kerana anda resah, marah, kecewa dan akhirnya mungkin bermasam muka.

Apabila anda melihat dengan

(1) ZAHIR – mata anda akan memerhatikan sekeliling, anda akan mula merasa dilihat dan anda juga mula malu. Maka anda akan cenderung melihat jam yang pada perkiraan anda mungkin lambat dan membosankan.

(2) BATIN anda yang terdiri dari MINDA dan EMOSI mula memberi reaksi terhadap apa yang anda lihat dan dengar. Elemen emosi yang berada dalam lingkungan batin akan mula mula memberi reaksi negatif terhadap kejadian menunggu teman anda tadi. Minda anda mula memikirkan sesuatu alasan negatif yang menyebabkan dia lambat sampai, mungkin kerana dia bersiap lewat atau seumpamanya. Anda mula beremosi, anda mula kecewa, anda juga mula untuk marah kepada teman anda kerana kelewatannya. Minda anda akan berkata-kata dan ianya secara tidak langsung ia kini mengusik ketenteraman tubuh spiritual anda Minda anda mula mencari jalan keluar dan harus anda ingat dalam keadaan beremosi jalan keluar yang selalu diambil adalah kurang rasional.

(3) Tubuh SPIRITUAL anda anda mengalami ketidaktentuan kerana konflik yang dicetuskan oleh minda dan emosi. Emosi sering mengganggu minda dalam memberi pandangan yang bernas terhadap satu-satu kejadian. Justeru itu jika anda mengamalkan pengamatan terhadap hidup dengan aturan pandangan zahir, batin dan spiritual, anda akan mudah berada dalam lingkungan emosi yang saya gelar emosi murahan. Ini kerana anda amat mudah terkesan dengan setiap kejadian bahkan jika satu-satu kejadian itu baik tetap juga dipandang serong kerana anda sering dikuasai oleh impak pandangan batin yang beremosi dan minda yang sering mencari jalan keluar. Maka kebaikan itu juga akan dilihat buruk kerana jalan keluar dari kebaikan itu mengikut pandangan minda anda ialah mencari salahnya.



Tetapi jika anda seorang yang mengamalkan aturan pandangan mengikut susunan yang diketuai oleh tubuh spiritual maka impaknya adalah kebahagian dan ketenangan. Tiada lagi emosi murahan yang mampu menggugat ketenteraman jiwa anda bahkan anda akan menjadi seorang yang sering berfikiran rasional biar apapun keadaan yang menimpa. Jika kita ambil kembali senario kejadian tadi yang dilihat pada pandangan awalnya ialah (1) SPIRITUAL, maka jiwanya tenteram kerana dia redha dengan keadaan yang kini perlu dihadapi iaitu menanti kedatangan temannya. Dia redha kerana dia tahu bahawa Allah swt mengaturkan segalanya. Dia tahu bahawa kelewatan temannya itu pasti bersebab kerana disebalik setiap kejadian itu ada sebabnya. Daripada ibni abbas katanya : pada satu hari saya berada dibelakang nabi saw. Maka sabdanya “hai budak! Aku mahu ajar kamu beberapa kalimah : Awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada disampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup” (HR Tarmizi). Jika mereka mengabil pandangan spiritual sebagai pandangan awal maka mereka akan dapat menghayati hadis ini yang mana setiap kejadian itu telah disuratkan dan kita perlu redha. Bertolak dari titik itu dia akan memberi laluan pandangan kepada batin. (2) BATINnya akan tersusun kerana MINDA akan mula memahami hikmah di sebalik kejadian. Minda akan menilai setiap perjalanannya yang mungkin dapat memberi satu ilmu pengetahuan. Dia dapat mempelajari sesuatu dari kejadian itu hasil pengamatan terhadap keadaan sekelilingnya. Pemahanan itu meredam emosi negatif yang melonjakkan emosi positif ke hadapan. Dia akan berterima kasih ke hadarat ilahi atas kurniaan ilmu yang diperolehinya dari penantian seorang teman. (3) tubuh ZAHIR akan bereaksi sesuai dengan emosi positif yang mendominasinya. Dia tersenyum bahagia ketika menyambut kadatangan temannya biarpun lewat dan mendengar butiran keterangan dari si teman dengan sepenuh jiwa. Jika anda dapat melazimkan amalan dengan melihat setiap kejadian dari sudut (1) spiritual (2) batin dan akhirnya (3) zahir, anda insya Allah akan sering berhadapan dengan pengalaman yang menyenangkan dan anda juga menjadi seorang yang bijak dalam membuat sebarang keputusan. Jika anda memilih untuk terus menjadikan pandangan zahir sebagai pandangan awal anda, anda telah membawa masuk ketidaktentetraman kepada batin yang akan membuatkan jiwa anda tertekan.



Inilah sains makrifat yang awal, jika kita faham bahawa ianya bukan untuk dijadikan bahan telagahan tetapi dijadikan wadah dalam melihat rencana kejadian, insya Allah hilanglah duka terbitlah ceria. Ubahlah pandangan anda melalui sains makrifat atau pun sains spiritual yang benar supaya setiap apa yang terjadi sentiasa manis rasanya kerana Allah swt sentiasa membahagiakan dan rahmatNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Sudah menjadi satu trend hari ini dimana subjek seperti ini menjadi tajuk utama bahan dagangan hingga kita tidak sedar bahawa keperluan ilmu dalam membicarakannya. Satu sikap yang perlu kita ubah adalah bermain dengan emosi dan rata-rata program latihan di malaysia ini masih duduk ditakuk lama kerana tidak beranjak dalam kelompok motivasi. Kita sering terpukau dengan keberadaan emosi yang dimainkan hingga membuat kita menangis dan ‘rasa insaf’. Hakikat yang perlu kita akui adalah rasa keinsafan itu hanya seketika bahkan tidak melekat seperti yang diperlukan. Kita hanya dapat berbangga dengan program yang kita lalui dan kita berbangga menceritakan tangisan yang kita alami sewaktu program dijalankan. Adakah dengan tangisan kita dapat mengubah persepsi hidup?, adakah dengan tangisan kita dapat menjadi manusia baharu? Jika kita berfikiran benar ianya mengubah maka jawapan dari sudut sains minda yang sebenar tidak. Kajian demi kajian telah dilakukan dibarat untuk membuktikan bahawa kita lebih banyak menghabiskan wang ringgit untuk ‘merasa’ positif walaupun sebenarnya jauh dari berada dalam ruang lingkup kepositifan. Hal yang patut kita fahami adalah hakikat diri sebenar yang sering kita alpakan. Bercerita tentang hakikat diri, ramai sungguh yang mencari hingga jauh mengembara, ada juga ke hutan rimba hanya ingin mencari diri sendiri. Benarkah kita terpaksa mengembara sejauh itu, sesusah itu untuk mencari diri sendiri. Mungkin saya berpandangan tidak sama seperti kebanyakan orang namun saya percaya ramai di luar sana yang mempunyai pandangan yang sama seperti saya. Pada saya, kita tidak perlu mencari diri kita jauh hingga ke hutan rimba kerana diri kita ada pada kita, yang tiada adalah kefahaman tentang diri kita dan bagaimana persepsi kita terhadap kehidupan. Bagi membetulkan persepsi terhadap hidup, kita hanya perlu membuka ruang minda supaya lebih terbuka dan belajar untuk menjadi terbuka, kemudian belajar untuk berfikir secara kritikal dan akhirnya membuat persepsi baru. Kita hanya perlu melihat ke dalam diri sistem yang kita gunakan dalam mencari ilmu. Saya dahulu seperti itu juga yang mencari diri hingga akhirnya kelelahan. Namun dengan sifat Allah swt yang maha pengasih lagi maha bijaksana dan seperti janjiNya, jika kita berjalan ke arahNya, Dia berlari ke arah kita, akhirnya saya diberikan jalan-jalan keluar dalam kebuntuan mencari diri. Rupanya kesilapan yang berlaku hanyalah sistem persepsi yang sudah terbalik hingga kita tanpa sedar meletakkan Allah swt di posisi yang tidak sepatutnya. Kita juga lebih melihat pandangan ‘tok guru’ dari melihat saranan baginda saw. Bukankah baginda saw sudah lengkap perlaksanaannya dan yang perlu hanya memahami apa yang disarankannya dan keterkaitan dalan kehidupan kita hari ini. Jika kita sudah berjaya dalam mengubah sistem persepsi, maka kita tidak perlu bersusah payah mengeluarkan air mata hanaya kerana dimainkan emosi dan apabila pulang hilang air mata dan yang ada hanya cerita kisah rasa sedih untuk disampaikan. Itu belum lagi dinamakan perubahan. Jangan pula kita sangka mereka yang sudah menukar sistem persepsi tidak menangis bahkan sebenarnya mereka lebih banyak menangis dan lebih sensitif perasaannya. Mereka menangis bukan kerana dimainkan emosi oleh orang lain, mereka menangis bukan kerana orang disebelah mereka menangis, mereka menangis bukan kerana mereka terpaksa dan dipaksa menangis tetapi mereka menangis kerana rasa cinta dan rindu kepada allah swt dan rasulNya. Mereka tidak memerlukan orang lain dalam memainkan emosi kerana jiwa dan raga mereka milik Allah semata, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Alalh swt. Tiada lain melainkan Dia. Kasih sayangNya menghidupkan aku dalam pancaroba dunia, ilmuNya menyuluh jalan yang gelap lagi berduri. Marilah kita mencuba untuk mengubah persepi hidup kita, bagaimana kita melihat sesuatu kejadian. Kita perlu faham sebenar-benar faham bahawa kita mampu mengubah orang lain tetapi kita mampu mengubah diri sendiri. Perubahan diri sendiri yang amat perlu adalah melihat sesuatu kejadian dari sudut spiritual dahulu baru diakhiri dengan zahir. Keadaan ini akan memberi impak dalam kasih sayang dan cinta kita kepada Allah swt. Hilang ego, hilanglah taksub kepada manusia, yang tinggal kebergantungan kepada Allah swt. Kita perlu tanamkan dalam diri kita sekukuhnya bahawa tiada satupun perencanaan Allah swt itu silap, yang silap hanyalah bagaimana kita melihat keadaan. Kesilapan timbul kerana keinginan kita berlawanan dengan kehendak Allah swt. Jika kita melihat kejadian itu sebagai perencanaan Allah swt dan kehendak Allah swt itu kita ikuti tanpa bantahan maka kita akan dapat melihat kemanisan cintaNya bukan kepahitan jiwa yang bernafsu. Hentikanlah permainan tangis emosi yang hanya memberi kerugian diakhirnya, biarkan tangisan itu datang dari jiwa yang mencintai dan ingat, cinta itu tidak dipaksa dan jika ada unsur paksa itu bukan cinta melainkan permainan ilusi. Janganlah meletakkan ketaksuban kepada manusia kerana hanya Allah swt yang layak untuk itu. Jangan kita berlaku sombong kerana itu selendangNya. Lakukanlah apa yang disarankan oleh baginda saw kerana baginda tahu jalan terbaik dalam mencapai cinta Allah swt. Apabila kita mengikut saranan baginda pasti akan keluar juga tangis sendu tetapi bukan dikhalayak yang berlumba sendunya, hanya dalam diri secara sendirian kerana rahsia cinta tidak mampu dikupas dengan ucapan mahupun ilusi

Artikel Tamat

No comments:

Post a Comment